Sabtu, 8 Februari 2014

Meraikan Kelas Tunku Abdul Rahman dalam simulasi Fleet Command




Permainan komputer Fleet Command asalnya dibangunkan oleh Sonalysts pada 1999 dan dilesenkan bersama Janes Information Group. Permainan ini sebenarnya merupakan simulasi latihan tentera laut yang mengambil aspek realistik dalam pembangunan sistemnya. Pada 2006, Stratetgy First telah menjenamakan permainan ini kepada SCS-Fleet Command dan dijual semula dalam pek Naval Combat Pack mengandungi 3 permainan iaitu Fleet Command, 6881 Hunter Killer dan Sub Command.

Aspek realistik dalam permainan strategi ini membolehkan penulis mencipta beberapa senario dalam memahami aspek strategi dan aset dalam peperangan maritim. Penulis mendapatkan permainan ini melalui platform Steam yang menawarkan permainan asli ini hanya pada harga belasan ringgit sahaja selepas diskaun, harga asal pek ini adalah USD19.99.

Tetapi aspek utama tarikan ialah Mods, satu kumpulan peminat permainan ini berusaha membangunkan permainan ini dengan menambahkan aset-aset terkini angkatan laut dunia bagi memastikan setiap senario relevan dengan sistem persenjataan terkini. Kumpulan yang dikenali dengan nama Naval Warfare Project ini cukup kreatif dan berusaha menambahkan pelbagai aset terbaru angkatan laut dunia yang ada dalam program asal dan tambahan aset-aset lain.

Keupayaan utama membangunkan senario di mana-mana jua pelusuk dunia dengan faktor kedalaman laut yang realistik membolehkan penulis membina pelbagai senario bagi memahami aspek pengurusan tempur maritim.Tetapi memandangkan permainan ini dibangunkan dalam tahun 1999, aspek grafik tidak setaraf dengan permainan terkini, tetapi kemampuan permainan ini mewujudkan senario pertempuran maritim pelbagai skala, daripada aksi kapal tempur permukaan, bawah permukaan dan udara tidak dapat ditandingi melainkan versi strategi yang sama seperti Harpoon.

Versi NWP 19.2 diperkenalkan pada akhir 2012, satu mod yang memiliki ratusan aset maritim permukaan dan tempur udara yang cukup signifikan dalam mereka bentuk sebarang senario berkaitan pertempuran maritim melibatkan dua negara atau pakatan negara.

Malaysia antara negara yang dimasukkan dalam senario asal. Aset yang dipaparkan adalah kelas Lekiu, Lekir dan Kelas Perdana. Selain itu, aset tempur udara juga dimasukkan termasuk aset terkini TUDM iaitu Su-30MKM dengan pelbagai gandingan sistem amunisi udara ke udara dan serangan maritim dan darat.

Kelas Lekiu dalam Fleet Command


Jika dilihat pada paparan skrin permainan, pemain boleh melihat peta taktikal dan kedudukan aset dalam ikon NTDS (Naval Tactical Display System), iaitu paparan sebenar berdasarkan ikon dalam sistem radar tentera laut. Bagaimanapun ada opsyen untuk menukar paparan ikon berdasarkan imej aset tersebut.

Kelas Kasturi

Kelas Perdana


 Bagi memastikan simulasi ini terus relevan dengan perkembangan semasa sistem persenjataan baru, versi 19.2 patch diperkenalkan di akhir 2013 dan tim modders memperkenalkan model Scorpene, Kelas TAR, aset strategik TLDM dalam permainan ini. Keupayaan ini memberikan TLDM satu kemampuan yang cukup ampuh untuk menghadapi ancaman armada musuh sekiranya diperlukan.

Kelas TAR - igauan ngeri tentera laut musuh

Bagi gambaran lebih jelas tentang kepelbagaian aset dalam permainan ini boleh tonton video berkenaan NWP 19.2 Mod di link video ini. Jika ada yang berminat ingin memiliki permainan ini, boleh membelinya di http://store.steampowered.com/

Video ini adalah kompilasi senario pertempuran masa hadapan antara armada laut dan aset udara Jepun dan China, semua aset yang ada dalam video ini terdapat dalam simulasi Fleet Command, termasuk kapal LPH armada Jepun terkini kelas Hyuga.