Rabu, 27 Ogos 2014

TLDM, adakah mampu tangani ancaman masa hadapan?

Jika dilihat kepada senario semasa negara, cabaran bermula tahun 2013 dengan peristiwa Lahad Datu, dan MH370 pada 2014 memperlihatkan keterlibatan TLDM secara intensif. Armada TLDM dengan kemampuan yang amat terhad, masih mampu laksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin. Bahkan, operasi Teluk Aden yang diluar kemampuan aset flotila dalam menyokong operasi jarak jauh dapat direalisasikan juga.

Melihat kepada skop tanggungjawab yang bertambah, aset-aset sedia ada yang telah usang, amat perlu diganti pada kadar segera. Amat kritikal Kementerian Pertahanan meneliti dan bermusabah diri, adakah TLDM ada kemampuan dalam tangani pelbagai cabaran yang semakin kompleks dan mencabar?

China, dalam masa yang sama, juga dalam usaha memperluaskan pengaruh kuasa maritim dan tidak segan silu untuk merayau sehingga jauh ke dalam perairan negara. Jiran serantau juga aktif membangunkan keupayaan maritim mereka kepada satu tahap dapat menjurangkan keupayaan TLDM untuk `show of power' dengan lebih efektif.

Tidak dinafikan, dua buah kapal selam Kelas Tunku Abdul Rahman, merupakan satu pemukul strategik flotila yang telah lama diidamkan berbandingTUDM sendiri yang masih bermimpi dengan sistem AEW&C. Bagaimanapun, dengan dua unit sahaja, elemen cegah rintang ini amatlah rapuh. Mana-mana musuh amat mengetahui bahawa meneutralkan sebuah Kelas TAR, akan mengurangkan kekuatan strategik TLDM sehingga 50%.

Aset terkini TLDM buat masa ini adalah enam buah PV, Kelas Kedah (1 x 76mm, 2 x MSI 30mm, 1 x heli). Kelas Laksamana juga bakal dilucut peranan ofensif dan akan hanya menjadi kelas peronda sahaja aka gunboat seperti Kelas Kedah. Manakala, skuadron Bot Serang Laju atau FAC/M juga semakin nazak. Buat masa ini, TLDM cuma mengharapkan Skd 22 (Kelas Kasturi) dan Skd 23 (Kelas Lekiu)  yang mana, hanya 3 buah kapal sahaja yang aktif, ini memandangkan KD Lekir sedang menjalani SLEP bagi memastikan kapal ini boleh beroperasi sehingga 2030. KD Kasturi telah pun beroperasi semula selepas menjalani program SLEP yang menelan belanja sehingga RM703.8 juta.

Malaysia adalah negara maritim, maka, pertahanan hadapan adalah TLDM, itu satu fakta yang cukup jelas buat semua. Pada tahun ini, Kerajaan bersetuju mengikat kontrak untuk membeli 6 buah SGPV-LCS. Akronim ini amat mengelirukan, persoalan dalam melihat TLDM fokus kepada pertahanan pesisiran pantai semata-mata sedangkan pola cabaran amat jelas menunjukkan Malaysia harus ke tahap operasi laut dalam. Markas armada perlu buka mata, TLDM bukan di era 70-an, tetapi di era di mana peranan yang dimainkan adalah jauh lebih besar dan bukan sebagai pasukan sokongan kepada ATM lagi.

Pada realitinya, TLDM tidak pernah memiliki kapal-kapal yang boleh dikategorikan sebagai full frigate. Kelas Lekiu, aset pemukul TLDM adalah seberat 2,000 tan sahaja, manakala kelas FREMM, frigate terkini buatan Eropah adalah seberat 6,000 tan!!. Kelas Kasturi juga hanya sekitar 1500 tan. SGPV-LCS dijangka bakal cecah 3,000 tan, bergantung kepada sistem yang bakal digunakan. Jangka hayat kapal yang bersaiz kecil sebegini, lebih kurang 20 tahun, Malaysia yang sememangnya negara kecil berpendapatan kecil juga, akan menggunakan Kelas Kasturi sehingga 2030, bermakna sehingga 46 tahun!!!

Antara keperluan mendesak TLDM ialah :-

  1. Menggantikan Skuadron 1 (FAC/M) x 6 buah FAC/M
  2. Menggantikan Skuadron 6 (FAC/G) x 8 buah FAC/G
  3. 2 x kapal MPCSS/Logistic/Landing Ship
  4. Menggantikan Skuadron 13 PC Sandakan x 2 buah PC
  5. 1 Skuadron x 6 buah medium size ASW heli
  6. 1 Skuadrom x 6 buah MPA dengan keupayaan ASW/ASuW
  7. Menggantikan Skd 24 Korvette x 4 buah Kelas Laksamana `togel'
Projek  kapal latihan Gagah Samudera dan Teguh Samudera sedang terganggu akibat masalah kewangan?? Jadi diharapkan dalam tahun 2016, isu ini dapat diselesaikan dan TLDM dapat mengoperasikan kapal ini dengan dwi fungsi, latihan dan rondaan.

Jika projek SGPV-LCS akan bermula 2018, jumlah kesemua akan diterima pada 2025? Pelan pembangunan TLDM perlu dilaksanakan dengan sasaran yang jelas dan realistik.

TLDM perlu kaji sama ada masih memerlukan skuadron FAC/M? atau kapal fungsi pelbagai seperti LCS yang lebih optimum dalam melaksanakan tugasan masa aman seperti rondaan, kawalan lanun, peperangan asimiteri dan sebagainya.

TLDM mengoperasikan 16 buah aset FAC/M dan G serta PC. Jika TLDM melaksanakan program gantian. perlu memperlihatkan versi LCS TLDM dilengkapi sistem ECM/modul SAR/Anti lanun/pemintasan. Ini termasuk sistem UAV VTOL dan RHIB bot laju sebagai bot pemintas. Kemampuan di laut sehingga 14 hari. Sistem senjata, meriam RWS 30mm, sistem CAMM SAM dan 4 x SSM. Jika TLDM boleh dapatkan peruntukan untuk 10 atau 12 buah sudah cukup optimum.

TLDM juga perlukan 6 buah helikopter ASW dan paling kurang 4 buah MPA. Selain, 2 buah MPCSS atau LHD atau versi yang lebih ekonomi kepada TLDM. Manakala Skd PV ke 17 diberikan SLEP dengan 1 x CAMM SAM dan 4xSSM.

Bermakna, dalam tahun 2025, TLDM akan miliki 6 x SGPV LCS, 6 x Strike PV, 10 x  FAC/M/PC, 2 x MPCSS, 6 x ASW Heli dan 4 buah MPA. Masa yang sama membesarakan 16 buah FAC/M/G/PV dan 4 buah Laksamana. Ini bermakna TLDM bersarakan 20 buah aset mereka, digantikan dengan 12 buah aset baru sahaja. Tetapi kuasa tembak daripada 24 x  MM38/40 digantikan dengan 64 x MM40 Block III atau NSM.


Mustahil? Ini adalah sesuatu yang boleh dicapai TLDM, anggaran kos mungkin sehingga RM10 bilion, berbanding sistem AV-8 TD pada kos RM8 bilion, ini bukan satu tahap yang amat tinggi. Persaraan 20 x aset lama juga menjimatkan kos selenggara kapal-kapal tersebut. Jika Kerajaan peruntukan tiap tahun bajet pembangunan kepada TLDM untuk bina kekuatan armada, RM1 billion setahun, maka tidak mustahil ini dapat direalisasikan.





Sabtu, 8 Februari 2014

Meraikan Kelas Tunku Abdul Rahman dalam simulasi Fleet Command




Permainan komputer Fleet Command asalnya dibangunkan oleh Sonalysts pada 1999 dan dilesenkan bersama Janes Information Group. Permainan ini sebenarnya merupakan simulasi latihan tentera laut yang mengambil aspek realistik dalam pembangunan sistemnya. Pada 2006, Stratetgy First telah menjenamakan permainan ini kepada SCS-Fleet Command dan dijual semula dalam pek Naval Combat Pack mengandungi 3 permainan iaitu Fleet Command, 6881 Hunter Killer dan Sub Command.

Aspek realistik dalam permainan strategi ini membolehkan penulis mencipta beberapa senario dalam memahami aspek strategi dan aset dalam peperangan maritim. Penulis mendapatkan permainan ini melalui platform Steam yang menawarkan permainan asli ini hanya pada harga belasan ringgit sahaja selepas diskaun, harga asal pek ini adalah USD19.99.

Tetapi aspek utama tarikan ialah Mods, satu kumpulan peminat permainan ini berusaha membangunkan permainan ini dengan menambahkan aset-aset terkini angkatan laut dunia bagi memastikan setiap senario relevan dengan sistem persenjataan terkini. Kumpulan yang dikenali dengan nama Naval Warfare Project ini cukup kreatif dan berusaha menambahkan pelbagai aset terbaru angkatan laut dunia yang ada dalam program asal dan tambahan aset-aset lain.

Keupayaan utama membangunkan senario di mana-mana jua pelusuk dunia dengan faktor kedalaman laut yang realistik membolehkan penulis membina pelbagai senario bagi memahami aspek pengurusan tempur maritim.Tetapi memandangkan permainan ini dibangunkan dalam tahun 1999, aspek grafik tidak setaraf dengan permainan terkini, tetapi kemampuan permainan ini mewujudkan senario pertempuran maritim pelbagai skala, daripada aksi kapal tempur permukaan, bawah permukaan dan udara tidak dapat ditandingi melainkan versi strategi yang sama seperti Harpoon.

Versi NWP 19.2 diperkenalkan pada akhir 2012, satu mod yang memiliki ratusan aset maritim permukaan dan tempur udara yang cukup signifikan dalam mereka bentuk sebarang senario berkaitan pertempuran maritim melibatkan dua negara atau pakatan negara.

Malaysia antara negara yang dimasukkan dalam senario asal. Aset yang dipaparkan adalah kelas Lekiu, Lekir dan Kelas Perdana. Selain itu, aset tempur udara juga dimasukkan termasuk aset terkini TUDM iaitu Su-30MKM dengan pelbagai gandingan sistem amunisi udara ke udara dan serangan maritim dan darat.

Kelas Lekiu dalam Fleet Command


Jika dilihat pada paparan skrin permainan, pemain boleh melihat peta taktikal dan kedudukan aset dalam ikon NTDS (Naval Tactical Display System), iaitu paparan sebenar berdasarkan ikon dalam sistem radar tentera laut. Bagaimanapun ada opsyen untuk menukar paparan ikon berdasarkan imej aset tersebut.

Kelas Kasturi

Kelas Perdana


 Bagi memastikan simulasi ini terus relevan dengan perkembangan semasa sistem persenjataan baru, versi 19.2 patch diperkenalkan di akhir 2013 dan tim modders memperkenalkan model Scorpene, Kelas TAR, aset strategik TLDM dalam permainan ini. Keupayaan ini memberikan TLDM satu kemampuan yang cukup ampuh untuk menghadapi ancaman armada musuh sekiranya diperlukan.

Kelas TAR - igauan ngeri tentera laut musuh

Bagi gambaran lebih jelas tentang kepelbagaian aset dalam permainan ini boleh tonton video berkenaan NWP 19.2 Mod di link video ini. Jika ada yang berminat ingin memiliki permainan ini, boleh membelinya di http://store.steampowered.com/

Video ini adalah kompilasi senario pertempuran masa hadapan antara armada laut dan aset udara Jepun dan China, semua aset yang ada dalam video ini terdapat dalam simulasi Fleet Command, termasuk kapal LPH armada Jepun terkini kelas Hyuga.






Ahad, 19 Januari 2014

TLDM perlu memperkasa kuasa tembakan yang dibersarakan

Kejutan 2014


Perutusan tahun baru oleh Panglima TLDM telah menarik perhatian beberapa blogger pertahanan tempatan dan wartawan pertahanan. Antara yang paling utama adalah cadangan pelucutan sistem Aspide dan Otomat Mk2 daripada kapal-kapal kelas Laksamana. Alasan yang diberikan kerana sistem kuasa tembakan ini telah dikira ketinggalan dan kos tingkat upaya mungkin tinggi. Perkara ini masih samar-samar tetapi melucutkan kuasa tembakan kelas Laksamana dengan 16 sistem Aspide anti-udara dan 24 Otomat Mk2 anti-kapal adalah satu kejutan buat penulis. Pada awalnya, sistem torpedo kelas ini telah dipasang kepada Kelas Kasturi yang sedang menjalani SLEP, kapal jauh lebih `tua' daripada Laksamana.  Ada juga sumber (tidak rasmi) menyatakan bahawa 3 buah kapal sahaja akan ditukar peranan menjadi kapal serang laju meriam dan sebuah lagi mengekalkan konfigurasi kapal korvet peluru berpandu.

Perlu diingatkan bahawa ini maklumat ini adalah tidak lengkap, ada elemen andaian dan tanggapan berdasarkan bacaan penulis dalam blog-blog pertahanan tanah air. Bagaimanapun, jika benar, apa akan berlaku pada sistem Aspide dan Otomat tersebut? Disimpan sampai berkarat? atau dijual kembali pada Itali atau dilupuskan?.

Kelas Laksamana versi Misil Korvet -sumber foto Wikipedia

Kelas Laksamana versi FAC-Gun selepas disunting-sumber foto sama, suntingan Blog Pertahanan Pertiwi.

Tidak dinafikan perolehan SGPV telah pun direalisasikan di mana TLDM bakal perolehi 6 buah kapal Korvet Peluru Berpandu dengan kuasa tembakan setaraf atau melebihi Kelas Lekiu, jangkaan operasi mungkin 2021. Skuadron 24 Korvet akan ditukar kepada Skuadron FAC-G jika benar peralihan ini direalisasikan. TLDM tinggal Skd 23 Frigat (Lekiu dan Jebat), Skd 22 Korvet (Kasturi dan Lekir), masih dalam SLEP dan  Skd PV ke-17 (6 buah PV, hanya ada meriam utama dan dua meriam sekunder). TLDM sekaligus menambah kekuatan FAC daripada enam kepada 10 buah.

Dua buah kapal latihan baru TLDM iaitu Gagah Samudera dan Teguh Samudera, dijangka akan beroperasi paling awal 2014 atau 2015. Tetapi sebagai kapal latihan, fungsi utama adalah melatih anggota TLDM, fungsi sekunder, melaksanakan rondaan terhad.

Cabaran utama TLDM adalah bagi melaksanakan rondaan berkesan di kawasan lautan lepas seperti di perairan Sabah, khususnya di sekitar perairan Spratly dan Ambalat. Melihat kepada aset sedia ada yang masih boleh digunakan, TLDM amat kekurangan aset yang boleh melaksanakan rondaan berkesan dengan kuasa tembakan yang disegani. Peristiwa armada PLA belayar berhampiran James Shoal dan hanya dibayangi oleh kapal PV dengan sistem senjata meriam memperlihatkan kemampuan semasa TLDM. Melihat kepada senario ancaman bukan konvensional dan konvensional, TLDM memerlukan satu strategi baru bagi memastikan tempo operasi TLDM pada tahap optimum.

Sistem Aspide untuk pertahanan udara pangkalan?

TLDM menerima 18 unit peluru berpandu Aspide ini pada 1997 dan berdasarkan kepada tarikh tersebut, 17 tahun peluru berpandu tersebut dalam inventori TLDM. Pada 2007, sebuah syarikat diberi kontrak berjumlah RM53 juta untuk membekal alat ganti sistem Aspide dan Otomat, pada asasnya meningkatkan jangka hayat sistem ini. Adalah dijangkakan stok terkini pada TLDM (sekadar tekaan penulis semata-mata) sekitar 16 unit. Jangka hayat sistem ini mungkin sehingga 2020. Berdasarkan harga 1994, seunit Aspide Mk1 berharga USD195,000.00. Ini bermakna nilai keseluruhan 16 unit Aspide sekitar RM10 juta. Persoalan utama, adakah dengan pelaburan kurang daripada RM20 juta mampu untuk menjadikan 16 peluru berpandu Aspide kepada sistem pertahanan udara darat pangkalan TLDM? Sistem pelancar Aspide dengan 4 sel Albatros boleh dipasang atas platform statik atau bergerak. Cuma sistem kawalan tembakan perlu diintegrasikan dengan sistem radar sedia ada untuk penjimatan kos. Sebaiknya pangkalan kapal selam di Teluk Sepanggar memiliki sistem sebegini bagi melindungi aset strategik berupa kemudahan kapal selam TLDM di sana. Ada syarikat tempatan memiliki kepakaran dalam menguji sistem ini untuk dibangunkan pada tahap ini.

Sistem pertahanan udara Aspide 2000 dengan sistem pelancar 6 sel dengan sistem radar penjejakan dan radar penyuluhan sasaran - sumber foto Seguranca Nacional Blog


Peluru berpandu Aspide - sumber foto http://www.mdc.idv.tw
Peluru berpandu Aspide Mk. 1dengan kelajuan 2.5 Mach dengan jarak efektif 15km sehingga 20km adalah sistem pertahanan udara kategori jarak dekat, walaupun reka bentuk asal berdasarkan peluru berpandu udara-ke-udara Sparrow, tetapi Aspide tidak memiliki julat jarak tembakan yang sama. Sistem panduan Aspide (semi-aktif) menggunakan panduan denyutan mono (monopulse), lebih sukar diserak dengan serangan elektronik berbanding versi awal Sparrow. Sistem ini memerlukan radar jejakan sasaran dan sistem radar penyuluhan sasaran (illuminator radar). Hanya dengan pelaburan minimum ini membolehkan TLDM memiliki satu bateri pertahanan udara. Jika dibandingkan dengan bateri sistem Spada 2000, satu radar penjejakan, radar penyuluhan sasaran diperlukan. Manakala, kawalan berpusat dalam kontena dipasang radar jejakan seperti RAC-3D yang memiliki keupayaan jejakan sehingga 80 km. Manakala radar penyuluhan sasaran bagi panduan peluru berpandu dalam mod panduan sebelum aktif secara automatik menghentam sasaran.  Bagi penjimatan kos teknik lain menggunakan sistem ini tanpa radar penjejak? Mungkin dengan menggunakan sistem radar panduan penyuluh jejakan semata-mata untuk memandu peluru berpandu ke sasaran? Ini antara beberapa pendekatan yang boleh dikaji dan diselidik bersama oleh TLDM sendiri.

Video ujian penembakan Aspide- Youtube

Sistem Otomat, penafian akses berkesan?

Peluru berpandu Otomat Mk 2 adalah sistem peluru berpandu anti kapal dengan jarak efektif sehingga 180 km. Jika sistem ini diletak di Pangkalan TLDM Lumut, sekaligus mewujudkan satu pertahanan aktif kepada mana-mana kapal musuh yang cuba menceroboh Selat Melaka dan kawasan sekitarnya.  Otomat Mk2 boleh dilancar daripada mana-mana sudut kapal untuk ke sasaran. Perancangan misi serangan sistem ini bergantung kepada titik arah 3D, profil siring laut (sea skimming),  Cabaran masih sama sebagaimana sistem Aspide iaitu mewujudkan satu infrastruktur baru yang memerlukan pelaburan untuk sistem pengesanan dan kawalan tembakan. Sistem ini bagaimanapun memerlukan bantuan sistem panduan tambahan untuk panduan tembakan melangkaui ufuk (melebihi 50km). TLDM menggunakan helikopter Super Lynx bagi tujuan tersebut. Satu lagi kekangan dalam memastikan sistem ini efektif pada jarak optimum.

Pelancar tujah Otomat Mk2 - sumber foto Wikipedia

Infrastruktur bagi kawalan pengesanan dan kawalan tembakan tidak perlu terlalu kompleks bagi mengelakkan kos yang besar. Jika Hezbollah mampu melancarkan sistem menggunakan peluru berpandu menggunakan peluru berpandu C-802 atau C-701 melumpuhkan kapal perang Israel INS Hanit pada tahun 2006, bermakna infrastruktur untuk mengatur gerak dan melancarkan peluru berpandu ini tidak perlu terlalu canggih atau kompleks. Bagi TLDM, sekiranya sistem ini mampu diatur gerak menggunakan platform bergerak dan boleh membuat tembakan pada jarak 50km dikira sudah cukup optimum bagi memastikan aset-aset pangkalan TLDM memiliki perlindungan yang diperlukan.

Perkasakan pertahanan Pulau Layang-layang


Pulau Layang-layang- sumber foto Qobus blogspot

Sejak akhir-akhir ini, China semakin ghairah selari dengan kekuatan ekonominya mengatur gerak armada Laut China Selatan dalam beberapa siri manuver tentera laut PLA. Isu utama adalah pengisytiharan China bahawa gugusan kepulauan Spratly di Laut China Selatan adalah kawasan mereka. Buat masa ini, Malaysia memiliki beberapa stesen di gugusan kepulauan Spratly, antaranya Pulau Layang-layang, Terumbu Ubi (Stesen Uniform), Terumbu Mantanani (Stesen Mike), Terumbu Siput (Stesen Sierra) dan Terumbu Peninjau (Stesen Papa) (sumber info daripada cybercoxswain.blogspot, 2008). Buat masa ini semua stesen ini dilindungi detasmen Paskal dan anggota-anggota TLDM serta bot CB-90 dan juga bot peronda dan meriam Bofors, serta kemungkinan unit anti udara dengan Short Starburst. Kekayaan mineral dalam kawasan ini yang bernilai bilion ringgit dalam bentuk minyak tidak boleh dipandang ringan.

Malaysia sememangnya memiliki hubungan cukup rapat dengan China, tetapi kita harus juga memperkukuhkan kemampuan Malaysia mengekang sebarang cubaan untuk provokosi oleh mana-mana pihak di rantau ini. Jika syarikat-syarikat berkepentingan melihat keperluan ini satu survival kepada hak Malaysia, satu kerjasama perlu diwujudkan.

Meletakkan satu bateri Aspide (dengan lapan pelancar) dan satu bateri Otomat (dengan enam pelancar) di Pulau Layang-layang akan berikan lonjakan kekuatan pertahanan dengan kemampuan mengekang sebarang perapatan aset musuh sehingga jarak 50km. Sekiranya ada usaha memusnahkan aset Otomat Mk2, sistem Aspide dapat memastikan keselamatan ruang udara kepulauan Layang-layang dalam julat 20km. Perkembangan terkini mendapati bahawa PLA kini dilengkapi dengan hovercraft Zubr. Sistem Zubr buatan Russia ini memiliki kelajuan 63 knot dan berupaya membawa 140 anggota marin dan 10 buah kereta perisai mampu menerjah ke sasaran dari pangkalan laut mereka. Zubr juga boleh dilengkapi dengan sistem roket atau meriam untuk memusnahkan sasaran pantai. China membeli 4 buah Zubr dan diberi lesen membangunkan hoverkraf ini. Ini bermakna, China bakal menggunakan aset serangan amfibi bagi penguasaan pulau-pulau di kepulauan Spratly dengan lebih pantas. PLA cuma perlu menghantar sebuah Zubr dengan 180 anggota dan 10 IFV  untuk penguasaan Pulau Layang-layang.


Zubr sedang dipunggah daripada kapal pengangkut di pelabuhan di China - sumber foto China Defense Blogspot






Video pendaratan anggota marin Soviet menggunakan Aist Hoverkraf, demonstrasi gerak gempur Marin menggunakan aset hoverkraf, lihat sahaja peralatan dan jumlah anggota yang dibawa-sumber Youtube.




 Zubr - mimpi ngeri baru angkatan laut serantau - sumber Youtube

Anggaran jarak efektif Zubr untuk tiba ke Pulau Layang-layang - Pertahanan Pertiwi

Kemampuan Tempatan Melaksanakan Kejuruteraan Infrastruktur Pelancar Sistem Otomat dan Aspide

Comlenia Sdn. Bhd. adalah syarikat usahasama dengan Selex Sistemi Integrati S.P.A dan Comintel Sdn. Bhd. Fokus utama syarikat ini bagi memberi khidmat sokongan bagi sistem kombat dan persenjataan kelas Laksamana, khususnya sistem Otomat dan Aspide. Memiliki kemudahan bagi ujian dan selenggara kedua sistem, syarikat yang ditubuhkan sejak 1997 memiliki kepakaran dan pengalaman mengendalikan kedua-dua sistem. Jika TLDM serius, satu kerjasama antara Comlenia, Stride serta TLDM boleh direalisasikan. Aspek utama, adalah guna pakai sumber kepakaran tempatan sedia ada dan bangunkan kepakaran ini dalam mewujudkan satu bentuk sinergi dan praktikal membolehkan satu infrastuktur sistem pelancar (memandangkan peluru berpandu telah dimiliki) dibangunkan oleh industri pertahanan tempatan.

Bagi meluaskan lagi perluasan pengetahuan ini, kerjasama dengan Universiti Teknologi Petronas boleh dilakukan, Fakulti Kejuruteraan paling tepat dalam mencari kaedah membina prototaip/platform sistem pelancar yang memiliki ciri-ciri tahan lasak dan mobiliti sebagaimana yang diperlukan dalam operasi ketenteraan. UTP yang kebetulan juga ditubuhkan pada tahun 1997, juga boleh membuat kerjasama pembangunan teknologi gelombang mikro dan radar bagi digunakan oleh pihak tentera atau awam. Fleksibiliti teknologi ini dalam komunikasi dan pengawasan pastinya dapat memberikan pulangan yang setimpal jika dirancang dengan baik. UTP memiliki tenaga-tenaga pengajar yang pakar termasuk dalam bidang kejuruteraan am, kejuruteraan elektronik dan sebagainya. Lokasi ketiga-tiga fasiliti di Lumut, Perak memudahkan perancangan dan logistik. Bagi penulis, tiada yang mustahil untuk dicapai. Paling utama meletakkan objektif dalam memastikan perairan dan maruah negara dipertahankan. Penulis sekadar berkongsi pandangan, mungkin ada banyak kekurangan, tetapi sekurangnya, penulis dapat nukilankan pandangan ini buat pertimbangan semua.